Kali ini saya akan menerangkan sedikit-sebanyak berkenaan dengan gas plasma dan bagaimana gas plasma ini mampu bertindak balas untuk menghasilkan imej yang jelas, terang serta tajam untuk kita lihat pada skrin plasma TV dan gambar di atas menunjukkan keratan rentas sebahagian daripada struktur plasma module yang dijadikan TV pada hari ini.
Secara umumnya gas plasma adalah terdiri daripada tiga unsur gas iaitu gas helium, neon dan xenon. Gas-gas yang diperangkap di dalam kaca ini (kaca merupakan lapisan luar kepada plasma module) mengandungi kandungan ion yang sangat tinggi. Keadaan ini membolehkan gas plasma boleh bertindak balas dengan elektron-elektron yang diujakan daripada panel-panel elektrod yang terdapat pada setiap sel-sel plasma atau sub-sub pixel menghasilkan sinaran ultra violet. Sinaran ini kemudiannya akan bertindak balas pula dengan fosfur berwarna merah, hijau dan biru yang melapisi sub-sub pixel untuk menjana warna merah, hijau dan biru yang terang. Proses ini akan dilakukan berulang-ulang dan ianya dikawal oleh enjin elektronik yang di pasang bersama plasma module untuk mewujudkan kadar kecerahan yang berlainan pada sub-sub pixel ini. Jadinya, dengan kombinasi tiga warna utama ini serta kadar kecerahan yang berubah-ubah inilah membolehkan plasma TV dapat membentuk kombinasi 16 juta warna. Hasilnya, walaupun dengan saiz yang besar imej yang di paparkan tetap terang, jelas dan tajam.
